Mulakan Dengan...

21 December 2008

Istikharah dan Perlaksanaan

Setiap daripada kita memerlukan membuat sesuatu keputusan apabila diperlukan. Seringkali kita terfikir adakah tindakan serta keputusan yang bakal dibuat adalah yang terbaik untuk semua pihak. Kadangkala kekeliruan boleh berlaku dalam membuat sesuatu keputusan. Persoalan: Bagaimanakah untuk membuat keputusan yang terbaik dan berguna untuk diri, agama, masa kini dan masa hadapan? Jawapan: Pelbagai cara untuk mendapat keputusan yang terbaik. Pelbagai alternatif yang dilakukan seperti perbincangan dengan yang pakar, muhasabah diri, bertanya kepada sahabat dan pelbagai lagi cara. Untuk umat Islam salah satu cara yang terbaik dan dituntut sebenarnya adalah melalui Solat Istikharah.

Apabila memperkatakan Solat Istikharah, ramai yang beranggapan ia hanya perlu dilakukan untuk memilih jodoh. Begitu juga dengan memilih pasangan hidup. Beginilah sinonim Istikharah dalam perlaksanaan bagi diri kita. Sebenarnya aspek Istikharah amat meluas dalam syariah ISLAM. Secara umumnya, Istikharah bermaksud meminta sesuatu. Jelas ia sebenar-benarnya adalah meminta pandangan dan pertolongan ALLAH dalam menentukan sesuatu yang terbaik.

Rasululllah amat menggalakkan kita melakukan Solat Istikharah dalam kehidupan sehari-harian kita. Ini disokong dengan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

Dari Jabir ra., ia berkata: "Nabi pernah mengajarkan kepada kami Istikharah dalam berbagai urusan, seperti mengajarkan sebuah surah dalam Al Quran. Kalau seseorang dari kamu menghendaki sesuatu, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian berdoa:

“Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya”


Nyata skop Istikharah amat meluas dalam kehidupan kita sehari-harian. Ianya melibatkan membuat keputusan yang bermaksud meminta pertolongan daripada ALLAH dengan sebenar-benarnya. Keikhlasan dan ketaatan kepada ALLAH patut diutamakan. Ramai yang terlupa untuk meminta pertolongan daripada ALLAH terutamanya apabila membuat keputusan yang besar. Tidak salah untuk kita membuat keputusan sendiri tetapi kita tidak tahu adakah keputusan itu baik untuk diri kita dan seterusnya.

Tetapi dijelaskan di sini bahawa menuruti keputusan Istikharah tidak membawa kepada wajib menurutinya. Tetapi ianya tetap perlu diberikan keutamaan. Kronologi diri kita dalam Istikharah, untuk mendapat keputusan adalah melalui 'mimpi' yang dihadirkan ketika tidur. Ulama' Mazhab Syafie, Maliki dan Hambali menyatakan istikharah perlu dilakukan dalam sesuatu yang paling menyakinkan. Ini dikira dalam menyatakan aspek tanda-tanda Istikharah.

Apabila memperkatakan tentang tanda-tanda Istikharah bukan sahaja mimpi perlu dijadikan tana yang nyata. Ini kerana mimpi yang dihadirkan boleh dipertikaikan kerana syaitan juga boleh menggangu mimpi. Benar bahawasanya mimpi daripada ALLAH boleh dihadirkan tetapi perlu diperlihatkan adakah mimpi-mimpi kita benar-benar jelas. Di hari ini pelbagai maksud-maksud mimpi boleh dipertikaikan. Sebenar-benarnya pelbagai lagi tanda istikharah boleh diperolehi. Selepas solat dan doa yang dilafazkan berbincanglah dengan pakar-pakar atau pihak yang lebih berpengalaman terutamanya yang arif dalam hal ehwal agama. Tanda-tanda sekeliling juga boleh dijadikan sesuatu bukti.

Konsep Istikharah melibatkan konsep mengharapkan bantuan kepada ALLAH. Ini boleh dikaitkan dengan konsep Doa, Usaha, Istiqamah dan Tawakkal sepenuhnya. Hati dan perasaan kita dibenarkan dengan tanda-tanda yang dipertunjuki daripada ALLAH.

Kadangkala timbul juga persoalan adakah tanda-tanda yang nyata atau tidak patut diterima atau tidak. Seperti yang dikatakan tadi, Istikharah tidaklah sampai ke tahap wajib menerima serta mengikutinya. Tiada berdosa jika menolaknya dan terus-meneruslah berusaha dan berusaha. Terserah kepada kita juga tetapi janganlah setelah Istikharah yang dilakukan terusan kita mengikut hawa nafsu yang seringkali menipu. Serlahlah keputusan yang bakal dibuat berlandaskan syariah dan keimanan di dada. Sekiranya keputusan yang dilakukan tetap mengakibatkan kesusahan tetaplah bertawakal dan berserah kepada ALLAH. Setiap ujian ang menimpa pasti ada hikmah yang tersedia.

Keredhaan kepada ALLAH perlu dijadikan landasan sepenuhnya. Penyerahan 'total' perlu diadaptasikan kepada realiti kehidupan yang sememangnya dipenuhi dengan pelbagai persoalan. Sebenar-benarnya lakukanlah Istikharah sebelum membuat apa-apa jua keputusan. Ini kerana jika timbul ragu-ragu dalam keputusan yang dilakukan mungkin akan timbul lagi persoalan yang meragu-ragukan. Ini bermaksud janganlah kita detik-detik akhir di masa timbul keraguan di hati barulah kita bersungguh-sungguh Istikharah. Ini mungkin memudaratkan kepada sesuatu pihak.

Singkapkanlah rahsia di dalam membuat keputusan. Ini melibatkan segala-galanya dalam kehidupan. Janganlah ragu-ragu dalam membuat Istikharah kepada ALLAH. Mintalah bantuan dan pertolongan kepada ALLAH. Hanya kepada ALLAH sahajalah hak kita untuk meminta bantuan dan ALLAH sentiasa akan memberi dan membantu apa yang kita perlukan.

Di sini saya sertakan artikel yang dinyatakan di dalam Darul Syifa' mengenai cara-cara perlaksanaan Solat Istikharah:

Mengikut beberapa buah kitab seperti Kitab Minyatul Musolli, Sabilal Muhtadin dan Sairus Salikin, secara ringkasnya cara melakukan Solat Istikharah adalah seperti berikut;

1. Waktu yang terbaik ialah pada 2/3 malam (iaitu sekitar pukul 2 pagi). Bagaimana pun boleh dilakukan pada bila-bila masa dalam waktu yang di haruskan sembahyang contohnya selepas maghrib.
2. Niatnya “Sahaja aku sembahyang sunat istikharah dua rakaat kerana Allah ta’ala”
3. Dalam rakaat pertama selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Kafirun atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
4. Dalam rakaat kedua selepas Surah Al-Fatihah baca Surah Al-Ikhlas atau apa-apa sahaja surah lain yang terbaik kita boleh baca.
5. Selepas memberi salam baca doa berikut (mulakan dengan basmalah dan selawat dahulu)


Terjemahan Doa':

Ya Allah! Aku mohon pemilihan Mu menerusi pengetahuan Mu dan aku mohon kekuatan Mu menerusi kudrat Mu serta aku minta pada Mu sebahagian dari limpah kurnia Mu yang sangat besar. Sesungguhnya Engkau amat berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa, Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan sesungguhnya Engkau amat mengetahui segala yang ghaib. Ya Allah kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) adalah baik bagiku dalam urusan agama ku juga dalam urusan penghidupan ku serta natijah pada urusan ku, kini dan akan datang, maka tetapkan lah ia bagi ku dan permudahkanlah ia untukku, serta berkatilah daku padanya. Dan kiranya Engkau mengetahui bahawa perkara ini (…sebutkan hajat..) membawa kejahatan kepadaku dalam urusan agamaku, juga dalam urusan penghidupanku dan natijah urusanku, kini dan akan datang, maka elakkanlah ia dariku dan tetapkanlah kebaikan untukku sebagaimana sepatutnya, kemudian jadikanlah daku meredhainya. (Dari hadis riwayat Imam Bukhari)

Untuk penjelasan yang lebih mendalam berkenaan Solat Istikharah ini anda patut dengar kupasan yang panjang lebar selama 47 minit tentang solat ini oleh Tuan Guru Dato Dr. Haron Din.

Sila muat turun rakaman tersebut di sini

~ Di sini dapat kita smpulkan bahawa Istikharah amatlah patut menjadi kemestian kepada kita semua. InsyaAllah apa yang kita lakukan pasti memberikan rahmat daripada ALLAH secara total. Apa yang penting adalah kita sentiasa berfikiran positif dan bersedia menghadapi apa sahaja ujian yang menimpa diri kita.

No comments: